KENYATAAN MEDIA

Projek Komuniti: Pelancaran Produk dan Pemindahan Teknologi Makanan Dan Spa Daerah Mersing

Mersing-19 Mei – Bertempat di Hotel Seri Malaysia, Mersing, Johor, telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Produk dan Pemindahan Teknologi Makanan dan Spa Daerah Mersing yang telah dirasmikan oleh YB Raven Kumar Krishnasamy,  ADUN Tenggaroh, Mersing, Johor.

Program ini merupakan salah satu aktiviti di bawah IISJ yang diaspirasikan oleh YAB Menteri Besar Johor.  Menerusi IISJ, sekumpulan penyelidik dari IBD, UTM telah mencadangkan dua kajian utama iaitu “Penjenamaan bagi produk pelancongan berasaskan laut”  dan “Program pembangunan spa dan produk berasaskan herba” bagi melestarikan industri pelancongan di Daerah Mersing.  Idea kepada kajian tersebut adalah berdasarkan daripada maklumbalas kajian lapang daripada usahawan dan komuniti setempat  di Daerah Mersing.

Pengalaman selama 15 tahun di IBD dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan bioproduk seperti kosmetik, makanan, nutrasiutikal untuk usahawan,     diaplikasikan oleh Dr. Rosnani Hasham, selaku Pengarah Program Pelancaran Produk dan Pemindahan Teknologi dalam inisiatif ini.  Menurut beliau, “objektif utama program ini adalah untuk memindahkan teknologi dan kepakaran kepada komuniti terutama sekali usahawan-usahawan kecil dan sederhana supaya mereka mampu mengeluarkan produk berkualiti tinggi dan mempunyai nilai tambah”.

Majlis ini juga memperkenalkan satu jenama bertemakan pelancongan iaitu ‘Mersing Signature’  sebagai landasan pelancaran dua  jenis produk hasil kajian penyelidik IBD, UTM iaitu ‘Pasta Ikan Berprotin Tinggi’ dan ‘Set Spa Mersing’. Majlis dan produk tersebut telah dilancarkan oleh YB Raven Kumar Krishnasamy yang menyahut positif usaha Dr. Rosnani di mana beliau merasakan “program ini dapat dijadikan sebagai wadah bagi membantu memperkasakan aktiviti keusahawanan masyarakat setempat seterusnya memacu ekonomi dan melestarikan Mersing sebagai sebuah daerah          eko-pelancongan yang ternama”.  Pada masa yang sama, ianya juga “seiringan dengan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang telah dilancarkan pada tahun 2016, dalam usaha untuk mempertingkatkan sosioekonomi komuniti setempat”

‘Mersing Signature’ diwujudkan atas dasar sebagai landasan kepada  usahawan-usahawan tempatan untuk mengetengahkan produk-produk mereka supaya menjadi antara ikon pelancongan di Mersing.  Inisiatif ini juga telah mendapat kerjasama ECERDC melalui program Empower ECER Mersing, Pejabat Daerah Mersing,Majlis Daerah Mersing dan Kolej Komuniti Pasir Gudang, Johor.

 

lagi gambar aktiviti