Program “Bijak Kewangan dengan Permainan Simulasi Cashflow 101“
cashflow 101
Program “Bijak Kewangan dengan Permainan Simulasi Cashflow 101” telah diadakan pada 14 Disember 2025 di Masjid Ar Rahman, Persiaran Sri Putri, Kulai. Aktiviti ini disertai oleh pelajar-pelajar dari kursus Pengurusan Projek & Ekonomi Kejuruteraan (SETG 4393-01 dan SETN 3173-01) bersama komuniti setempat, iaitu penduduk Taman Putri Kulai. Program ini di bawah seliaan empat pensyarah FKT, Prof. Madya Dr Hasrinah Binti Hasbullah (SETG 4393-01), Dr Abdul Halim Bin Mohd Yusof (SETG 4393-01), Dr Eraricar Binti Salleh (SETN 3173-01) dan Dr Aziatul Niza Sadikin(SETN 3173-01) bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan bijak, membina kefahaman tentang pendapatan pasif, serta memupuk kerjasama antara universiti dan komuniti. Program ini melibatkan 54 orang pelajar dan disertai oleh 49 orang ahli komuniti setempat.
Semasa program, sesi ceramah tentang literasi kewangan telah disampaikan oleh Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dan Dermags International, yang memberi pendedahan kepada peserta tentang pengurusan kewangan yang bijak, perancangan kewangan serta pentingnya membina pendapatan pasif. Selain itu, aktiviti interaktif melalui permainan simulasi Cashflow 101 telah diadakan untuk membolehkan peserta memahami konsep aliran tunai, pengurusan hutang dan perancangan kewangan secara lebih praktikal. Peserta dibahagikan kepada kumpulan untuk menjalankan permainan simulasi yang melibatkan pengurusan kewangan dalam situasi kehidupan sebenar. Aktiviti ini berlangsung selama beberapa jam dengan pelbagai cabaran yang berjaya diselesaikan oleh semua peserta. Program ini mencapai objektifnya dengan baik iaitu meningkatkan pemahaman komuniti mengenai pengurusan kewangan yang berkesan dan memberi mereka pengalaman langsung dalam mempraktikkan ilmu kewangan.