17 Julai 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melakar satu lagi pencapaian akademik yang signifikan menerusi penganjuran Professorial Inaugural Lecture Series ke-125 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Auditorium, Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), UTM Johor Bahru. Syarahan Perdana kali ini telah disampaikan oleh Profesor Dr. Aishah binti Abdul Jalil dengan tajuk yang cukup berimpak dan relevan dengan hala tuju kelestarian global, iaitu “From the Lab to Life: Catalysts for a Sustainable Future”.
Majlis ilmu yang penuh pengisian ini telah dikendalikan dengan lancar oleh Prof. Dr. Zainura Binti Zainon Noor selaku moderator program, manakala atur cara majlis diserikan lagi dengan kelancaran pengacaraan oleh Puan Hamimah Binti Nozari selaku Pengacara Majlis (MC). Menerusi sesi syarahan tersebut, Profesor Dr. Aishah telah mengupas dengan mendalam tentang peranan penting penyelidikan pemangkin (catalysts) daripada skala makmal sehinggalah aplikasinya dalam kehidupan nyata demi memacu masa depan yang lebih lestari seiring dengan agenda UTM ASCEND 2030. Majlis yang bermula jam 9.30 pagi ini telah dihadiri oleh pengurusan tertinggi universiti, rakan-rakan akademia, para pelajar, serta tetamu jemputan.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Profesor Dr. Aishah binti Abdul Jalil di atas penyampaian syarahan yang amat bermakna, serta jutaan terima kasih kepada Prof. Dr. Zainura Binti Zainon Noor dan Puan Hamimah Binti Nozari atas gandingan mantap dalam mengemudi majlis! Semoga perkongsian ilmu ini terus memberi impak berterusan kepada komuniti dan industri.