SURABAYA, 18 Mei – Tiga pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Muhammad Firdaus bin Rasdan, Muhammad Umar Siddique bin Hassan dan Carlos Shedik Anak Nunsong telah berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan ‘Case Study Petrolida 2023’ yang berlangsung di Institusi Teknologi Sepuluh Nopember, Surabaya.
Sementara itu, tempat pertama dan kedua menjadi milik Institusi Teknologi Bandung (ITB). Pencapaian tempat ketiga dalam pertandingan ini melayakkan UTM membawa pulang sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah IDR 1500000.
Program anjuran SPEITS-SC yang dijalankan setiap tahun ini yang dinamakan sebagai PETROLIDA merupakan satu inisiatif dalam mencungkil bakat mahasiswa terutama daripada aspek kemahiran komunikasi dan kemahiran berfikir secara kritikal dalam bidang minyak dan gas.
Pertandingan ini juga bertujuan mengasah bakat pelajar dalam menyelesaikan kes yang telah diberikan oleh pihak PERTAMINA EP dan tugas peserta adalah untuk mendalami kes tersebut serta mengemukakan penyelesaian dalam bentuk pembentangan.
Program ini turut menarik penyertaan daripada pelbagai pihak industri seperti Pertamina EP, The Purnomo Yusgiantoro Center dan Grab.
Program yang dijalankan di Institusi Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) merangkumi pelbagai kategori pertandingan yang dijalankan. Tiga pelajar UTM tersebut telah bertanding di bawah nama kumpulan ‘Atlas’, bersama 47 kumpulan yang datang dari pelbagai universiti-universiti antarabangsa.
Proses saringan bermula apabila setiap kumpulan yang terdiri daripada tiga peserta akan menghantar penyelesaian mereka dalam format abstrak kepada pihak PETROLIDA bagi sesi penilaian dari pihak juri. 10 kumpulan yang terbaik akan dipilih dan menjalani pusingan akhir di universiti tersebut pada tanggal 18 hingga 21 Mei.
Menurut Muhammad Umar Suddique bin Hassan, salah seorang ahli kumpulan ‘Atlas’, hasil kejayaan ini tidak akan mereka peroleh tanpa bantuan dan pertolongan daripada pelbagai pihak terutamanya Dr. Mansoor Zoveidavianpoor, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT).
Tidak juga dilupakan, Soh Wai Sheng, pelajar tahun empat kejuruteraan petroleum, yang membantu mereka dari segi pemahaman keseluruhan kes dan pelaksanaan jalan penyelesaian yang akan dibentangkan.
Jika bukan kerana mereka dan berkat usaha setiap ahli kumpulan yang bekerjasama bagi menyiapkan tugasan tersebut, kejayaan tersebut tidak akan diperoleh.
Pengalaman bertanding dalam pertandingan tersebut dilihat sebagai asas dan batu loncatan dalam menceburi bidang kerjaya kejuruteraan petroleum yang akan pelajar-pelajar ini tempuhi pada masa akan datang.